Kita selalu mendengar rungutan daripada seseorang guru atau ramai guru tentang masalah disiplin yang sedang berlaku dan kekesalan yang ditunjukkan terhadap pelaku atau pencetus masalah itu sedangkan kita tidak pernah mahu mendengar apa tindakan yang mereka telah lakukan atau mencadangkan tindakan yang sepatutnya.
Luahan tidak puas hati itu diungkapkan kepada seseorang yang sedang diajak berbicara, atau dibawa ke dalam mesyuarat sebagai makluman seolah-olah menceritakan perihal pelajar yang bermasalah itu suatu cerita yang menyeronokkan.
Berbagai-bagai masalah diceritakan termasuk tentang begitu teruknya si pelaku dan kadang-kadang timbul perasaan memandang rendah kepada pengurusan disiplin di sekolah.
Melalui cara sedemikian setiap orang seolah-olah mahu menunjukkan yang mereka sangat mengambil berat atau prihatin terhadap apa yang sedang berlaku.
Mereka jenis ini juga mahu menunggu mesyuarat yang akan datang atau pertemuan berikutnya untuk membawa masalah itu sedangkan masalah hari ini perlu ditangani hari ini juga supaya pelajar yang melakukan kesalahan tahu bahawa sekolah serius menangani kes salah laku dan tidak ada tolak ansur tentangnya.
Tetapi masalah tetap tinggal sebagai masalah dan tidak juga dapat diselesaikan, dan pelajar yang melakukannya masih melakukan perbuatan yang sama, berulang-ulang.Mengapakah hal seperti ini sampai terjadi?
Rupa-rupanya yang merungut tidak pernah bertentangan muka dengan si pelaku, tidak pernah mengenalinya dengan lebih dekat. Mereka tidak cuba membuat teguran atau menasihatinya atau membawa pesalah kepada mereka yang bertanggungjawab.
Yang kerap berlaku mereka hanya memandang dari jauh atau dekat terhadap masalah yang berlaku,dan melihatnya dengan penuh kejijikan dan kemudiannya dijadikan bahan untuk dijaja ke sana ke mari.
Mereka jenis ini suka bersungut atau meleteri tentang apa yang mereka nampak untuk sepanjang masa sedangkan mereka sendiri dilihat tidak pernah membantu secara serius dan lebih bertanggungjawab dalam usaha menangani kes-kes disiplin.
Semua guru adalah guru disiplin dan semua guru adalah guru bimbingan. Tetapi mereka jenis ini hanya mahu mengajar dan membiarkan guru disiplin dan kaunselor sekolah menguruskan sendiri hal-hal disiplin.
Mereka akan terus meratap tetapi tidak pernah ada keseriusan dan keikhlasan untuk membantu menangani masalah yang berlaku seperti membuat teguran ketika itu juga atau membawa masalah itu kepada saluran yang betul.
Mereka turut mengharapkan ada orang lain yang akan menyelesaikan masalah itu seperti pihak berkuasa, guru disiplin atau Pengetua jika di sekolah.
Sebaliknya mereka sekadar berpuas hati dengan bercerita kepada orang lain tentang masalah yang timbul sambil menunjukkan rasa tidak puas hati terhadap mutu disiplin, sedangkan mereka sendiri tidak berbuat apa-apa.
Fenomena seperti ini menyebabkan si pesalah sendiri mungkin tidak tahu sama ada dia telah melakukan kesalahan atau tidak. Mungkin pelajar yang bersalah berfikir begini ” kalau dia bersalah mengapa tidak ditegur atau diambil tindakan segera,”








