Sistem pendidikan negara dilihat belum dapat membangunkan sains dan teknologi untuk melahirkan pemikir kreatif ke arah mencapai status negara maju menjelang 2020.
"Pada masa sekarang, sistem pendidikan kita tidak membantu pembangunan sains dan teknologi. Apabila kita bercakap mengenai sains dan teknologi, kita bercakap mengenai orang yang boleh berfikir, orang yang mempunyai kekuatan intelektual, berfikiran logik, berfikiran kritis dan kreativiti," kata Profesor Emeritus Datuk Mohamed Abdul Majid.
Beliau berkata Malaysia masih ketinggalan jauh dalam sains dan teknologi berbanding negara maju lain dan berharap Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi akan mengkaji semula kurikulum sekolah untuk meningkat mutu pendidikan negara.
Mohamed, 61, seorang ahli sains dan pendidik dianugerahi gelaran Profesor Emeritus oleh Universti Malaya semalam.
Beliau kini berkhidmat di Fakulti Sains Universiti Brunei Darussalam.
"Kita mempunyai buku kerja di mana kita perlu menjawab dengan jawapan yang sama yang diberikan oleh guru di dalam buku. Kurikulum sekolah mesti membenarkan pelajar untuk berfikir dan meluahkan padangan mereka.
"Ini yang berlaku di banyak negara seperti Singapura, Amerika Syarikat dan Korea Selatan yang membenarkan pelajar mempunyai kebebasan untuk melahirkan pendapat, sehingga mewujudkan kreativiti di kalangan pelajar," katanya.
Beliau turut menyaran agar guru diberi gaji yang lebih baik agar mereka pula boleh memberi yang terbaik kepada pelajar mereka.








